JELAJAH NUBE: KO NOGOGHI! SEREMBAN BUKTIKAN PEKERJA MAHU KEBENARAN
Lebih 120 ahli NUBE dari Seremban dan kawasan sekitarnya telah berhimpun di AZ Event Hall, Seremban semalam bagi menghadiri JELAJAH NUBE: KO NOGOGHI!, untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai Perjanjian Bersama Ke-20 (CA20), Festival Aid (FA) dan isu-isu semasa yang terus memberi kesan kepada pekerja bank.
Turut hadir ialah pemimpin-pemimpin serta Ahli POB NUBE dari seluruh negara, membuktikan bahawa perjuangan mempertahankan hak pekerja adalah satu perjuangan yang dikongsi bersama.
Majlis dimulakan pada jam 6.00 petang dengan bacaan doa oleh Bro Abdul Jamil, sebelum ucapan pembukaan disampaikan oleh Pengerusi NUBE SMJ, Bro Amirul Safwan.
Para peserta kemudiannya mendengar perkembangan dan penerangan daripada beberapa pemimpin NUBE. Antara yang menyampaikan ucapan ialah Bro Thiagarajan Somasonderam, Bro Mohd Faisal Husin, Penolong Setiausaha Agung NUBE, Sis A. Karuna, dan Presiden NUBE, Bro Tan Eng Hong, yang berkongsi perkembangan terkini mengenai perjuangan CA20, FA serta cabaran yang sedang dihadapi oleh pekerja bank.
Turut menyampaikan ucapan ialah Setiausaha Agung MTUC, Bro Kamarul Baharin, yang menegaskan kepentingan perpaduan gerakan pekerja dalam mempertahankan hak-hak pekerja di Malaysia.
Kemuncak program ialah ucapan Setiausaha Agung NUBE, Bro J. Solomon, yang memberikan penjelasan menyeluruh mengenai perkembangan CA20 dan FA serta bagaimana tindakan #KESUMA dan Kerajaan #MADANI telah menyumbang kepada kelewatan dan ketidakadilan yang masih dihadapi oleh ribuan pekerja bank.
Selepas sesi rasmi berakhir dan makan malam dihidangkan, para pemimpin NUBE dan MTUC tidak terus pulang.
Sebaliknya, mereka terus bersama ahli-ahli sehingga hampir 12.00 tengah malam, meluangkan masa menjawab pelbagai soalan, mendengar pandangan dan berkongsi penjelasan lanjut mengenai isu-isu yang membelenggu pekerja bank.
Turut hadir sepanjang program ialah Timbalan Presiden MTUC, Dato’ Mohd Dauzkaply, yang meluangkan masa bersama ahli-ahli, berbincang, menjawab pelbagai persoalan dan bertukar pandangan sehingga lewat malam, sekali gus menunjukkan sokongan padu MTUC terhadap perjuangan pekerja bank.
Semangat yang ditunjukkan malam tadi membuktikan satu perkara. Apabila pekerja diberi fakta, mereka mahu mendengar. Apabila pekerja diberi ruang untuk bertanya, mereka mahu memahami. Dan apabila pekerja bersatu, suara mereka menjadi lebih kuat.
Perjuangan ini belum selesai. Tetapi malam tadi membuktikan bahawa semakin ramai pekerja memilih untuk bangkit, memahami dan mempertahankan hak mereka bersama.
Bersatu Kita Teguh. Bersatu Kita Menang.
#JelajahNUBE #KoNogoghi #SuaraPekerja #HakPekerja #CA20 #FestivalAid #PekerjaBersatu #KesatuanSekerja #WorkersVoice #WorkersRights #TradeUnion #UnityIsStrength
Likes Comments





To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now