NASIHAT MESRA KEPADA PENGURUSAN PERINGKAT BAWAH: TEGAKKAN INTEGRITI
Pengurusan tertinggi Maybank, CIMB, Affin Bank dan Hong Leong Bank sememangnya menyedari bahawa tindakan aman ahli-ahli NUBE memakai lencana adalah sah dan berpunca daripada perlakuan tidak wajar pihak pengurusan tertinggi sendiri.
Namun, daripada menangani kebimbangan sah yang dibangkitkan oleh para pekerja, pengurus peringkat bawahan diarah untuk menakut-nakutkan pekerja, mengeluarkan surat berbentuk ancaman dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan pekerja.
Malangnya, sesetengah daripada anda terpedaya tanpa menyedari bahawa mereka sedang menggunakan anda untuk menakut-nakutkan pekerja. Tindakan tersebut hanya membuktikan lagi perlakuan yang mencetuskan kempen “BANK TIPU KITA”.
Malah, Mahkamah Tinggi telah putuskan bahawa pihak mereka telah berpakat dengan bekas Menteri KESUMA melalui suatu pertemuan sulit untuk menafikan hak ahli-ahli NUBE. Keputusan tersebut kini sedang dirayu oleh pihak mereka di Mahkamah Rayuan.
Rayuan itu difailkan pada hari yang sama keputusan Mahkamah Tinggi disampaikan, dengan tujuan menghalang pakatan sulit pihak-pihak berkenaan dengan bekas Menteri daripada didedahkan.
NUBE tidak mempunyai sebarang pertikaian dengan anda. Kami menyeru anda supaya menggunakan pertimbangan sendiri, bertindak secara beretika dan tidak membenarkan diri anda diperalatkan untuk menyembunyikan salah laku serta tindakan balas dendam pihak pengurusan tertinggi. Hal ini penting bagi mengelakkan pengurus peringkat bawahan daripada turut dikaitkan dengan perbuatan yang merupakan suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Kempen NUBE bertujuan memastikan pengurusan tertinggi menegakkan integriti dan tidak memupuk budaya yang membolehkan bank memperdaya atau menakut-nakutkan pekerjanya sendiri. Apabila pengurusan tertinggi bertindak dengan penuh integriti, semua pekerja mendapat manfaat.
Apabila seorang pekerja diancam atau diperdaya, tindakan itu adalah suatu kezaliman terhadap semua pekerja, termasuk anda.
NUBE menggesa pengurus peringkat bawahan supaya tidak membenarkan diri anda bersubahat dalam tindakan yang hanya memenuhi kepentingan pengurusan tertinggi. Apa yang dilakukan terhadap ahli-ahli NUBE hari ini mungkin dilakukan terhadap anda esok.
“Jangan menjadi alat ketidakadilan, pilihlah integriti.”
#BankTipuKita #TegakkanIntegriti #HakPekerja #HakKesatuan #SuaraPekerja #JanganTakut #SolidaritiPekerja #NUBE #UpholdIntegrity #WorkersRights #TradeUnionRights #WorkersVoice #WorkerSolidarity #StandTogether #UnionStrong
Likes Comments





To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now