04 Sep 2026

BERITA NUBE

 

MAHKAMAH TINGGI SUDAH BERSUARA. MENTERI SUDAH BERTUKAR. KENAPA KERAJAAN MASIH BERDIAM?

Apabila tindakan seorang Menteri menimbulkan persoalan serius tentang integriti jawatannya, apa yang sepatutnya berlaku?

Kita tidak perlu melihat jauh.

Di Singapura, S. Iswaran diarahkan bercuti daripada tugas kementerian ketika disiasat. Apabila didakwa pada 2024, beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan ahli parti.

Di Australia, Madeleine Ogilvie melepaskan jawatan Menterinya pada Mei tahun ini selepas berdepan tuduhan mengelirukan Parlimen.

Di Korea Selatan, bekas Menteri Penyatuan Cho Myoung-gyon disabitkan kerana menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Menteri.

Kes-kes ini berbeza dari segi fakta dan proses undang-undang. Tetapi prinsipnya sama: kuasa datang bersama pertanggungjawaban.

Sekarang lihat Malaysia.

Pada Februari 2026, Mahkamah Tinggi membuat dapatan amat serius mengenai tindakan YB Steven Sim ketika beliau menjadi Menteri Sumber Manusia dalam pertikaian Bantuan Perayaan NUBE dan MCBA.

Mahkamah mendapati beliau telah memasuki gelanggang pertikaian, dilihat menyokong cadangan MCBA dan menunjukkan “clear bias”. Mahkamah turut mendapati kepercayaan terhadap jawatan Menteri telah dilanggar dan proses statutori terjejas.

Ini bukan tuduhan NUBE. Ini dapatan Mahkamah Tinggi.

Namun Steven Sim masih seorang Menteri Kabinet.

Jadi selepas keputusan Mahkamah itu, apakah yang kerajaan lakukan untuk membetulkan keadaan, memulihkan keyakinan pekerja dan memastikan perkara seperti ini tidak berulang?

Ada satu realiti politik yang tidak boleh diabaikan. DAP, parti Steven Sim, mempunyai 40 Ahli Parlimen dan merupakan blok parti terbesar dalam Kerajaan Perpaduan. Walaupun NUBE tidak mendakwa inilah sebab beliau kekal dalam Kabinet, pekerja berhak bertanya sama ada pertanggungjawaban seorang Menteri turut dipengaruhi oleh keperluan menjaga keseimbangan politik kerajaan.

Tetapi pekerja tidak sepatutnya membayar harga untuk politik sebuah kerajaan.

Dan kepada Menteri Sumber Manusia yang baharu, YB Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, apa yang berlaku dahulu bukan keputusan YB, tetapi apa yang berlaku selepas ini berada di bawah kepimpinan YB. Pulihkan keyakinan pekerja terhadap KESUMA, pastikan proses yang adil dihormati dan bawa CA20 serta FA kembali ke jalan penyelesaian yang sepatutnya.

Dan inilah sebabnya BANK TIPU KITA! bukan sekadar slogan.

Apabila bank mempertikai, melengah atau cuba mengurangkan hak pekerja, kerajaan sepatutnya memastikan hak kita dihormati. Tetapi apabila mereka yang berkuasa tidak bertindak, bank mendapat lebih banyak masa dan pekerja terus menunggu.

FA belum selesai. CA20 belum selesai. Pelarasan gaji masih menunggu.

Apabila ketidakadilan dibiarkan, sikap tidak bertindak akhirnya memihak kepada mereka yang mendapat manfaat daripadanya.

Mahkamah Tinggi sudah bersuara. Menteri sudah bertukar.

KENAPA KERAJAAN MASIH BERDIAM?

Adakah membetulkan keadaan ini bermakna kerajaan perlu mengakui bahawa apa yang berlaku memang salah?

YAB Perdana Menteri. YB Menteri Sumber Manusia.

Pekerja sudah terlalu lama menunggu. Masa untuk bertindak.

BANK TIPU KITA!

Lihat apa yang berlaku. Nilai sendiri.

Ketahui. Bersatu. Bersedia.

Perpaduan adalah Kekuatan. Kekuatan adalah Kemenangan.

#BankTipuKita #JelajahNUBE #NUBE #HakPekerja #KeadilanUntukPekerja #Pertanggungjawaban #RundinganKolektif #CA20 #BantuanPerayaan #PekerjaBank #SuaraPekerja #WorkersRights #WorkersJustice #MinisterialAccountability #GovernmentAccountability #CollectiveBargaining #BankWorkers #WorkerSolidarity #TradeUnionRights #UnityIsStrength #StevenSim #RamananRamakrishnan #AnwarIbrahim #PMX #MADANI

 

 

Likes Comments

 

To post likes and comments on National Union of Bank Employees stories, you will need to Signin or Register Now

 

 

Connect with NUBE

The NUBE will use the information you provide in this form to send you information by e-mail. You can change your mind at any time by following the unsubscribe instructions in the footer of any email you receive from us, or by contacting us at nube_hq@nube.org.my