SU Agung Sdra Solomon yakin CA baru akan selesai dalam waktu singkat

PORT DICKSON: Melihat kepada perkembangan sejak tiga tahun lalu, Setiausaha Agung NUBE Sdra J. Solomon berharap Perjanjian Bersama (CA) akan datang dapat diselesaikan dengan secepat yang mungkin.

“Kalau kita lihat CA yang lepas memang bagus. Kita tidak mahu ambil masa yang lama, dalam masa yang singkat kita selesaikan.

“Akhir tahun ini kita akan mula bincangkan CA yang baru, kita berharap dalam satu mesyuarat sahaja ia dapat diselesaikan,” kata beliau yang melahirkan keyakinan dengan mengambil persekitaran hubungan baik dengan majikan dan perubahan minda di kalagan kebanyakan bank.

Beliau berkata demikian pada forum khas sempena Persidangan Tiga Tahun Sekali Perwakilan NUBE yang berlangsung di Pusat Latihan NUBE di sini.

Tema persidangan kali ini adalah “Labour Uplifting Humanity: Future of Work in the Banking Industry”.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihatkan ahli-ahli NUBE mengambil pendekatan “harus ada perubahan minda” di kalangan mereka dalam menghadapi cabaran kerja.

Kata Sdra Solomon, beliau pernah memberi nasihat yang sama 10 tahun yang lalu.

Katanya, semangat untuk menerima perubahan penting untuk kekal relevan meskipun pihak majikan melaksanakan kemajuan teknologi dalam menyediakan perkhidmatan.

“Hari ini pihak pengurusan juga sudah menunjukkan perubahan minda untuk kekal relevan. Kalau kita terima ada minda sanggup terima perubahan, kita akan kekal selama-lamanya, dan kita tidak menerima VSS,” kata beliau.

Katanya, NUBE tidak menolak pengenalan teknologi baharu oleh pihak bank, tetapi mahu tenaga kerja dikekalkan dengan diberi latihan dan skil baru.

WordPress Video Lightbox Plugin