Penggabungan RHB-Ambank: NUBE kecewa ‘dianak tiri’

Penggabungan RHB-Ambank: NUBE kecewa ‘dianak tiri’
FMT Reporters | June 19, 2017

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) melahirkan rasa kecewa kerana penggabungan RHB Bank Berhad dan AMMB Holdings Berhad langsung tidak dibincang bersama kesatuan itu, sekali gus menggambarkan sikap tidak menghormati kepentingan pekerja.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, pengumuman penggabungan melibatkan kedua-dua bank terbabit bukan sahaja mengejutkan NUBE, malah pada masa yang sama mendedahkan sikap tidak hormat RHB Bank terhadap pekerjanya.

Kata beliau, tindakan RHB yang tidak sepatutnya dilakukan menunjukkan kelonggaran diberikan oleh Bank Negara Malaysia agar pihak bank boleh membuli pekerja-pekerja bukan eksekutif dalam industri perbankan.

“NUBE ada perjanjian kolektif yang meliputi hal ehwal penggajian pekerja RHB Bank, dan terdapat 1 peruntukan dalam perjanjian yang sama di mana memerlukan bank untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kesatuan dalam keadaan seperti ini.

“NUBE hanya mengetahui mengenai rancangan penggabungan ini melalui media,” kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.

NUBE mewakili pekerja-pekerja kategori perkeranian industri perbankan.

Beliau yang juga setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, pekerja-pekerja dalam industri perbankan telah melalui kesukaran yang cukup perit ekoran penggabungan dan pengambilalihan yang pernah disaksikan sebelum ini.

Katanya, pendekatan sedemikian membawa kepada kehilangan pekerjaan, yang turut telah memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Justeru, tiada sebab untuk mengabaikan kesatuan, perjanjian kolektif dan pekerja-pekerja terbabit.

“Pekerja-pekerja negara ini adalah nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan tidak boleh dilayan dengan cara seperti ini.”

Sambil merujuk kepada pandangan Profesor Ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng dan Prof Hoo Kee Ping, pengarang beberapa buku ekonom, yang dipetik oleh FMT baru-baru ini, Solomon berkata, pekerja-pekerja yang terbabit boleh dilatih semula untuk terlibat dalam kerja-kerja jualan dan perbankan dalam talian.

Kedua-dua mereka juga memberi amaran penggabungan yang bakal berlaku akan menyaksikan beribu-ribu kakitangan hilang pekerjaan.

Kim Leng berkata, pemberhentian kerja di bawah iklim ekonomi semasa akan menimbulkan masalah kepada mereka yang diberhentikan kerja.

“Walaupun ekonomi negara dalam proses pemulihan namun ia tidak pada kadar yang boleh menjana peluang pekerjaan yang mencukupi. Akan ada cabaran pekerjaan,” katanya.

Bagaimanapun kedua-dua mereka berkata, kebanyakan pekerja yang terjejas boleh dilatih dan ditugaskan untuk bekerja di bahagian jualan dan operasi perbankan atas talian.

Kee Peng berkata juruwang dan pengendali kaunter lain terdiri daripada pekerja bank.

“Tetapi terdapat keperluan tenaga jualan dalam bank. Kebanyakan bank sekarang melatih juruwang mereka untuk melakukan jualan,” katanya.

Beliau menggesa kedua-dua bank berkenaan melatih pekerja mereka yang terjejas melakukan tugas jualan atau menawarkan mereka skim pengasingan sukarela yang akan memberikan peluang kepada mereka untuk belajar kemahiran baru.

Beliau juga berkata, pekerja boleh dilatih untuk bekerja dalam sektor pertumbuhan baharu yang mempunyai potensi yang kuat seperti teknologi kewangan (FinTech), perbankan atas talian, pengurusan kekayaan dan pelaburan insurans perbankan.

Awal bulan ini, RHB dan AmBank mengumumkan Bank Negara Malaysia meluluskan hasrat mereka untuk memulakan perbincangan bagi tujuan penggabungan.

Sumber dipetik Reuters berkata RHB akan menjadi pemeroleh dalam penggabungan berpotensi itu yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$9 bilion (RM38.59 bilion).

Reuters menambah kedua-dua bank tersebut mempunyai sejumlah 25,000 pekerja apabila bergabung.

Sehubungan itu soal Solomon: “Adakah kita mahu mewujudkan sebuah bank yang besar bagi industri untuk beroperasi sebagai oligopoli?”

“Kita telah melihat apa yang berlaku di Barat dengan krisis kewangan global. Dalam analisis akhir, apabila terjadinya kegagalan, pembayar cukai biasa akan menjadi orang yang menyelamatkan industri besar seperti itu,” katanya.

Solomon juga mahu Bank Negara Malaysia mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan antara bank-bank terbabit dalam urusan penggabungan dan juga NUBE supaya kesan penggabungan dapat dibincangkan dan 1 penyelesaian dicapai.

Katanya, jika pihak kesatuan terus dihina dan para pekerja tidak diendahkan, NUBE tiada pilihan kecuali terpaksa memulakan tindakan mengecam kekejaman terhadap pekerja-pekerja terbabit.

Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/…/penggabungan-rhb-ambank…/

WordPress Video Lightbox Plugin