Kualiti bukan destinasi tapi perjalanan berterusan, saran Sdra Abdul Jamil

PORT DICKSON: Timbalan Presiden NUBE Sdra Abdul Jamil Jalaludeen berkata, kepimpinan kesatuan perlu menekankan tentang pentingnya penyesuaian dibuat sebagai respons kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini.

Sehubungan itu katanya, kepimpinan kesatuan perlu mempunyai keupayaan untuk melakukan perubahan sosial yang membina dengan mengenal pasti kelemahan dan seterusnya mengambil pendekatan strategik untuk menangani sebarang isu dan permasalahan.

Selain itu, Sdra Jamil yang juga Pengerusi NUBE PKP memberitahu, kepimpinan kesatuan juga mempunyai peranan yang penting dalam memastikan penglibatan ahli-ahli dalam berkesatuan bagi melahirkan ahli yang berkualiti tinggi.

Berucap pada forum khas sempena Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Kali ke-23 di Pusat Latihan NUBE hari ini, Sdra Jamil berkata, persidangan kali ini tentunya amat penting kerana bukan sahaja berkesempatan untuk bersua muka dan mengeratkan silaturahim dengan rakan sejawat, malah dapat mencetuskan ‘new wisdom’ yang relevan dengan peranan dan tanggunggjawab kepimpinan kesatuan sekerja.

“Saya percaya persidangan kali ini dapat mewujudkan ruang perbincangan yang menyentuh pelbagai isu kaum pekerja, khususnya yang melibatkan kaum pekerja yang berpendapatan rendah di negara ini dan pekerja sektor perbankan,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, “kita sedar bahawa kualiti bukanlah satu destinasi tetapi satu perjalanan yang berterusan.”

“Sesuatu yang dianggap berkualiti pada hari ini mungkin tidak lagi berkualiti pada hari esok atau pada masa akan datang.

“Oleh itu, pencapaian kualiti seiring dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi, kita akan ketinggalan.

“Kita perlu mempunyai semangat dan kemahuan untuk berubah ke arah kebaikan kerana semangat ini akan membuatkan kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa juga cabaran sekali pun,” kata beliau lagi.

WordPress Video Lightbox Plugin