Di mana jaminan kerja kita? – Sdra Affendi Husain

PORT DICKSON: Kita pekerja bank peringkat bawahan perlu bersyukur dengan adanya kesatuan – NUBE – yang menjadi tempat kita untuk mengadu dan melindungi kita daripada kerakusan majikan yang terus memfokuskan keutamaan mereka kepada keuntungan.

Perbankan adalah industri yang berubah begitu cepat dan perubahan yang paling ketara adalah perubahan ke arah perbankan digital.

Perubahan perbankan digital datang dalam beberapa cara yang paling popular. Mereka memperkenalkan ‘mobile banking’ di mana pelanggan boleh mengurus akaun mereka dari rumah dengan menggunakan ‘smartphone’.

Ada banyak bank bergerak lebih ke hadapan dengan memperkenalkan ‘digital only bank’ di mana mereka secara total membuang keperluan atau kewujudan sebuah bank secara fizikal.

Di Amerika Syarikat, ia bermula pada tahun 2008. Dari situ bank-bank lain mula memperkenalkan perbankan secara digital. Kemudian ia merebak ke Eropah dan lain-lain tempat.

Kita sudah nampak kecenderungan bank-bank di Malaysia ke arah automasi. Peruntukan perbelanjaan yang tinggi dilaburkan untuk IT. Pergantungan kepada mesin-mesin melebihi daripada manusia itu sendiri.

Kita boleh lihat di mana tempat yang menjadi tumpuan orang ramai di situ diletakkan mesin-mesin ATM – pusat membeli-belah, stesen minyak, hospital dan sebagainya. Dan di setiap cawangan bank diwujudkan pusat perbankan elektronik. Mesin ATM, kalau dulu untuk deposit dan pengeluaran wang, tetapi sekarang macam-macam transaksi boleh dilakukan di mesin-mesin ATM.

Bila perbankan ini berlaku, kita dapat lihat pengecutan pekerja-pekerja bank.

Kita kehilangan 50 hingga 60 peratus teller. Kalau dulu bila masuk bank, kita boleh lihat barisan teller di lobi bank, tetapi sekarang rata-rata tinggal dua atau tiga teller sahaja. Manakala pekerja-pekerja ‘back office’ berkurangan disebabkan kerja-kerja mereka dipusatkan di satu-satu tempat dan dokumen-dokumen diimbas dan diproses di sana.

Itu belum diambil kira di mana kerja-kerja kita telah diambil oleh orang lain melalui ‘outsource’ ataupun diambil oleh pengawal.

Di mana jaminan kerja kita sekarang?

Kita terpaksa menerima perubahan yang berlaku. Kita boleh menerima lebihan kuasa untuk menjalankan tugas di tempat kerja pada masa yang sama perlu menghalang mereka mengambil tugas-tugas kita melalui ‘outsourcing’ atau pun pegawai-pegawai Bank.

Hakikatnya kita sebagai satu pasukan dalam kesatuan harus bersatu berjuang demi keselamatan pekerjaan kita. Setiap ahli perlu memainkan peranan bukannya meletak beban di bahu pegawai-pegawai kesatuan.

WordPress Video Lightbox Plugin