Beri pinjaman rumah tanpa faedah bantu pekerja B40, M40

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan menggalakkan pihak bank komersial menyediakan pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi sifar kadar faedah bagi pekerja-pekerja dalam kategori pendapatan B40 dan M40.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, kos sara hidup dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan kesan pelaksanaan GST telah mengakibatkan implikasi serius dan beban yang pelbagai ke atas golongan berpendapatan rendah.

“Harga hartanah pula meningkat dengan ketara kebelakangan ini. Oleh itu, untuk mendapatkan pinjaman perumahan dalam konteks itu amat sukar akibat tidak cukup upaya untuk membayar balik pinjaman.

“Meskipun memiliki rumah satu impian bagi setiap rakyat, malah ia juga aspirasi kerajaan, malangnya pada hari ini merealisasikan impian itu adalah mustahil disebabkan kos sara hidup dan faedah pinjaman yang tinggi serta disebabkan bayaran ansuran pinjaman yang besar,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sewa rumah pula dinaikkan secara berkala di mana pemilik-pemilik mengambil kesempatan daripada masalah kewangan dan permintaan sewa demi keuntungan mereka sendiri.

Selain itu kata beliau, mereka yang berpendapatan rendah berhadapan dengan masalah serius kerana kos sara hidup terus meningkat.

“Pendapatan mereka tidak cukup walaupun hanya untuk memenuhi keperluan asas kehidupan masing-masing,” katanya.

Bagi menangani masalah itu, kata Solomon, mereka mendampingi ‘ah long’ untuk mendapatkan pinjaman pada kadar faedah yang sangat tinggi atau mengambil bahagian dalam skim cepat kaya yang seringkali mereka tertipu.

Malah katanya, keadaan itu memburukkan lagi pendapatan yang mengecil, di mana bukan sahaja menyebabkan masalah ekonomi, tetapi juga kesan-kesan sosial yang serius.

“Justeru, MTUC mahu Kementerian Kewangan menyeru semua bank agar berganding bahu dengan kerajaan dalam memenuhi agenda negara dan tanggungjawab sosial korporat bank,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank.

MTUC mngesyorkan pinjaman perumahan sehingga RM500,000 dan pinjaman peribadi 10 kali gaji asas bulanan, kata beliau sambil menambah, pinjaman perumahan adalah untuk pemilikan rumah pertama dan pinjaman peribadi pula untuk digunakan sebagai kemudahan bayaran asas.

“Kami juga telah meminta kerajaan agar melanjutkan konsesi cukai kepada bank bagi menggalakkan mereka menawarkan kemudahan pinjaman sifar kadar faedah dan dengan itu, kami yakin usaha ini akan mendapat sambutan positif daripada pihak bank,” katanya.

Menurut Solomon, langkah itu apabila dilaksanakan akan mengatasi masalah-masalah sosial dan kekecewaan yang boleh membawa kepada kesan-kesan sosial yang lain. Kami juga yakin kemudahan ini akan membolehkan golongan yang berpendapatan rendah membina kehidupan yang berkualiti untuk diri mereka dan juga keluarga masing-masing.

http://www.sinarharian.com.my/…/beri-pinjaman-rumah-tanpa-f…

WordPress Video Lightbox Plugin